
“Penodaan Kitab Suci (al-Quran), ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, sangat menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia.
“(Tindakan) ini melanggar prinsip universal menghormati dan memahami semua agama dan kitab suci mereka,” kata Zambry di Twitter.
Insiden itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan Amerika Syarikat, Arab Saudi, Turki, Iraq, Iran, Maghribi dan Jordan antara negara yang mengecam Sweden.
Reuters melaporkan bahawa polis Sweden memberikan kebenaran untuk sebuah protes di mana penganjur merancang untuk membakar al-Quran. Lelaki itu kemudiannya didakwa kerana mencetuskan kegelisahan terhadap kumpulan etnik atau negara tertentu.
Polis berkata, risiko keselamatan berkaitan dengan pembakaran itu “tidak mempunyai sifat yang boleh mewajarkan, mengikut undang-undang semasa, keputusan untuk menolak permintaan itu”.
Walaupun polis Sweden menolak beberapa permohonan baru-baru ini untuk demonstrasi anti-Quran, mahkamah telah mengatasi keputusan itu, dengan mengatakan ia melanggar kebebasan bersuara.
Pada Januari, ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan, turut membakar naskhah al-Quran, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Susulan kejadian itu, kira-kira 400 orang berarak ke kedutaan Sweden di Malaysia untuk membantah tindakan kerajaan Sweden berhubung insiden itu.