Rompak jutaan ringgit, 4 termasuk 2 sarjan mengaku tak salah

Rompak jutaan ringgit, 4 termasuk 2 sarjan mengaku tak salah

Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah, manakala Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas.

Empat tertuduh dibenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua anggota polis yang bertugas di Bukit Aman antara empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan merompak seorang lelaki membabitkan kerugian jutaan ringgit bulan lalu.

Dua anggota polis berpangkat sarjan, Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4) serta Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas, bersama Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Menurut Berita Harian, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Kondominium Irama Wangsa, Seksyen 10 Wangsa Maju pada 8.30 malam 25 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.