Keputusan The Hague bukti banyak tak kena dengan award kumpulan Sulu, kata peguam

Keputusan The Hague bukti banyak tak kena dengan award kumpulan Sulu, kata peguam

Peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, N Sivananthan tidak nampak sebarang prospek kejayaan jika tindakan menguatkuasakan award akhir itu diulangi.

Mahkamah Rayuan The Hague semalam menafikan permohonan kumpulan Sulu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan award timbang tara USD14.9 bilion di Belanda.
KUALA LUMPUR:
Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda menolak tuntutan kumpulan Sulu mengukuhkan pendirian Malaysia bahawa banyak tidak kena dengan semua award itu, kata peguam.

Mahkamah itu semalam menafikan permohonan kumpulan Sulu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan award timbang tara sebanyak USD14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda.

Mengulas keputusan bersejarah itu, peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, N Sivananthan berkata, keputusan itu jelas memusnahkan kaedah tidak ortodoks award yang diberikan pada mulanya dan pelantikan penimbang tara dipertikaikan.

“Ia mengukuhkan pendirian Malaysia dan keseluruhan award itu banyak yang tidak kena,” katanya kepada Bernama.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang prospek kejayaan jika kumpulan Sulu mengulangi tindakan mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu.

Berkongsi pandangan sama, peguam Malik Imtiaz Sarwar berkata, penghakiman itu tepat kerana ia memutuskan award itu bermasalah dan jika dikuatkuasakan akan memberi impak negatif kepada kedaulatan Malaysia.

“Saya tidak tahu apa tindakan mereka seterusnya. Mereka mungkin cuba menguatkuasakan award dalam bidang kuasa mahkamah lain. Itu saya fikir akan menjadi lebih sukar dengan keputusan mahkamah di Perancis dan Belanda.”

Pada 6 Jun lalu, Malaysia melakar kejayaan bersejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award diputuskan Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam tuntutan lapan rakyat Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Award akhir yang diperkatakan itu dikeluarkan Stampa, penimbang tara Sepanyol pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu terbabit.

Dalam usaha mereka menguatkuasakan award akhir bernilai USD14.9 bilion itu, Kumpulan Sulu dilaporkan cuba merampas aset Petronas di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, Kumpulan Sulu membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol terbabit untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajakkan nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.