SPRM belum buka kertas siasatan kontrak RM214 juta Opcom

SPRM belum buka kertas siasatan kontrak RM214 juta Opcom

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi itu memerlukan lebih masa meneliti dakwaan dikemukakan kerana ia berlaku 20 tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan akan dibuka jika ada asas berdasarkan undang-undang semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak gentian optik bernilai RM214.2 juta yang berlaku 20 tahun lalu.

Menurut Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi itu memerlukan lebih masa untuk meneliti dakwaan itu kerana ia didakwa berlaku 20 tahun lalu.

Tambahnya, kertas siasatan akan dibuka jika ada asas berdasarkan undang-undang semasa.

Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Opcom Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan anak Dr Mahathir Mohamad, didakwa menerima kontrak gantian gentian optik bernilai RM214.2 juta pada 20 tahun lalu.

Mahathir adalah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, manakala anak ketiganya, Mukhriz didakwa berkhidmat sebagai pengarah syarikat tersebut dari 30 Mac 1994 hingga 14 Okt, 2009.

Anwar dalam pembelaan terhadap saman difailkan Mahathir berkata, Telekom Malaysia Berhad mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom.

Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan di mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebagai pemegang saham khas yang memberikannya kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Anwar berkata, MKD pada masa itu berada bawah kawalan dan arahan Mahathir selaku perdana menteri dan menteri kewangan.

Sementara itu, Azam berkata kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah di Kementerian Sumber Manusia dalam pengambilan pekerja asing akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa dua minggu.

Azam berkata, siasatan membabitkan beberapa bekas pegawai Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar itu kini di peringkat akhir dan akan diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut apabila ia dilengkapkan.

SPRM turut menyoal siasat Sivakumar.

April lalu, SPRM menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementeriannya dipercayai berkaitan kelulusan kuota pekerja asing. Sivakumar kemudian berkata lima pembantunya dipecat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.