Pelan tindakan fasa pertama tangani isu industri kreatif mula suku ketiga

Pelan tindakan fasa pertama tangani isu industri kreatif mula suku ketiga

Pelan itu dibentangkan dalam satu perbincangan antara KKD dengan agensinya susulan dialog awam bersama pemain industri, kata Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, semua permasalahan yang dibangkitkan oleh pemain industri kreatif akan diselesaikan mengikut fasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelan tindakan fasa pertama bagi menyelesaikan isu yang membelenggu pemain industri kreatif tempatan akan bermula seawal suku ketiga tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, semua permasalahan itu akan diselesaikan mengikut fasa, menerusi pelan tindakan yang telah dibentangkan dalam satu perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama agensinya.

Fahmi berkata, perbincangan tersebut adalah untuk menganalisis dapatan daripada empat sesi dialog awam bersama pemain industri muzik, persembahan, industri kreatif dan filem, yang telah diadakan sebelum ini.

“Enam bulan pertama, saya ingin pastikan suara pemain industri kreatif didengar. Semestinya, merekalah yang paling tahu masalah yang berlaku dalam industri ini. Saya telah mendengar suara anak seni melalui empat sesi dialog awam.

“Adakah ‘mendengar’ sahaja sudah cukup? Tidak. Itu hanya langkah pertama untuk saya faham masalah yang dihadapi,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.

Justeru, Fahmi berkata, pelan tindakan yang dibentangkan dalam perbincangan itu merupakan selangkah ke arah reformasi industri kreatif tanah air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.