MIC dakwa diberi kerusi, pengerusi BN Selangor kata tunggulah

MIC dakwa diberi kerusi, pengerusi BN Selangor kata tunggulah

Pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata keputusan akhir akan dibuat kepimpinan tertinggi parti masing-masing.

Ketua MIC Selangor MB Raja berkata walaupun dimaklumkan ada kerusi untuk parti itu pada PRN, belum ditentukan jumlah dan kawasannya. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
MIC Selangor mendakwa akan diberikan kerusi pada PRN, di tengah-tengah ketegangan tercetus dalam Barisan Nasional (BN) susulan kenyataan “biawak hidup” dilemparkan seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kepada parti itu dan MCA.

Perkara itu dimaklumkan ketuanya, MB Raja selepas mesyuarat BN Selangor di Bangunan Umno Selangor malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kerusi belum diputuskan dan agihan antara parti komponen dijangka dimuktamadkan minggu depan.

“Pengerusi BN Selangor (Megat Zulkarnain Omardin) kata ada ‘seat’ (kerusi untuk MIC), tapi beliau tak maklum berapa. Itu nanti dia bagitahu presiden saya (Vigneswaran),” katanya.

Beliau berkata, perbincangan hampir tiga jam itu juga tidak menyatakan kawasan akan ditandingi MIC.

“Hari ini kita bincang macam mana nak kerjasama dengan PH. Kerusi mana, pengerusi (BN) tak bagi tahu kawasan mana (untuk MIC),” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain ketika ditemui media berkata, pihaknya meraikan permintaan daripada rakan komponen BN itu, namun keputusan akhir akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti masing-masing.

“Memang ada (permintaan daripada parti komponen) tetapi tunggulah… permintaan kita raikan, tetapi tak bermaksud satu atau tiada langsung atau mungkin lebih,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan Ahli MKT Umno Lokman Adam melabel MIC dan MCA sebagai “biawak hidup” kerana tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada BN.

Kenyataan Lokman dibidas Ketua Penerangan MIC Thinalan Rajagopalu yang meminta Lokman mencadangkan kepada Pengerusi BN Zahid Hamidi supaya mengeluarkan MIC daripada gabungan itu jika benar ia menjadi beban.

Semalam, Zahid dilaporkan meminta rakan komponen BN tidak “melayani” sebarang kenyataan sensasi dikeluarkan mana-mana pemimpin parti dalam gabungan, yang tidak diendors gabungan itu sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.