
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu, kerajaan yakin ia semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya award akhir berjumlah USD15 bilion, yang diperolehi melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan.
“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Rayuan The Hague hari ini menolak permohonan lapan individu yang mendakwa waris bekas Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan award USD15 bilion yang diperolehi dalam timbang tara terhadap kerajaan Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris pada 16 Mac lalu mengekalkan perintah menangguhkan penguatkuasaan award akhir di Perancis yang diperolehi pada 12 Julai 2022, sementara menunggu keputusannya.
Kumpulan terbabit berusaha menyita aset kerajaan di Perancis, Belanda, dan Luxembourg selepas sebuah mahkamah timbang tara di Paris sebelum ini menganugerahkan award USD14.9 bilion kepada mereka.
Hakim di The Hague berkata keputusan hakim di Paris untuk menangguhkan penguatkuasaan award itu bermakna tuntutan mereka tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda.
“Keputusan ini sekaligus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda,” kata Anwar.