
Edmund Terrence Gomez berkata, kerajaan gagal belajar daripada kesilapan sama sebelum ini, seperti pelantikan Rashdan Yusof sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga semasa beliau masih eksekutif kanan Gamuda Bhd.
Pelantikan Voo, yang diumumkan oleh CAAM pada 10 Jun, mencetuskan kebimbangan berikutan penyertaan Berjaya Group dalam industri penerbangan dan cadangannya untuk membina lapangan terbang di Pulau Tioman.
CAAM juga merupakan pihak berkuasa bertanggungjawab mengeluarkan lesen pengendali aerodrom (AOL).
Voo menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) penerbangan kumpulan Berjaya Land pada Februari. Menurut kenyataan syarikat pada masa itu, Voo akan menyelia syarikat penerbangan bawah Berjaya, iaitu Berjaya Air, Asia Jet dan Rafflesia Airways.
Rashdan, yang dilantik pada Februari untuk mengetuai badan pengawal selia tenaga, pada mulanya mengekalkan jawatannya sebagai timbalan pengarah urusan kumpulan Gamuda Bhd, yang terlibat dalam perniagaan tenaga boleh baharu.
Beliau meletak jawatan di Gamuda dua bulan kemudian berikutan kritikan yang meluas.
“Saya ingat kerajaan perpaduan sudah sedar tentang implikasi daripada kontroversi (berkait Rashdan), tetapi rupanya tidak,” kata Gomez kepada FMT.
Badlishah Sham Baharin, presiden NGO Islam Ikram berkata Voo, yang sebelum ini berkhidmat sebagai CEO CAAM antara 2020 dan 2022, akan mempunyai akses kepada maklumat mengenai pembaharuan lesen serta aspek komersial penerbangan.
“Mempunyai maklumat sedemikian akan meletakkannya dalam konflik kepentingan secara langsung kerana beliau CEO penerbangan Berjaya Land,” kata Badlishah.
Beliau memberi amaran langkah itu akan membimbangkan pesaing dalam industri kerana akan “menimbulkan persaingan tidak adil”.
Pakar pengangkutan Rosli Khan memberi amaran pelantikan Voo dalam lembaga CAAM mungkin menjejaskan reputasi Malaysia dalam industri penerbangan global.
Beliau berkata, sebagai ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Malaysia terikat dengan piagam dan protokol merangkumi aspek seperti keselamatan, keterjaminan, kecekapan dan perlindungan alam sekitar.
“Kegagalan mematuhi beberapa peraturan asas mungkin merugikan negara kita berhubung tuntutan insurans,” katanya.
Rosli menekankan CAAM mesti ditadbir selaras dengan mandat ICAO.
“Ahli lembaga CAAM mesti bebas, bukan eksekutif, dan tidak boleh diambil daripada mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi mahupun wakil mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi,” katanya.
Bekas pegawai SPAD Wan Agyl Wan Hassan berkata, konflik kepentingan boleh timbul “jika Voo dapat memanfaatkan kedudukannya di CAAM untuk kelebihan Berjaya Group”.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan konflik seperti itu boleh diuruskan oleh badan bebas.
Wan Agyl mencadangkan pasukan petugas bersama antara CAAM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerap “menyemak sebarang potensi penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan”.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook semalam berkata, keabsahan pelantikan Voo sebagai ahli lembaga CAAM dirujuk kepada penasihat undang-undang badan itu,
FMT menghubungi Voo untuk mendapatkan komen.