17 bebas tuduhan merusuh di kuil Seafield pada 2018

17 bebas tuduhan merusuh di kuil Seafield pada 2018

Majistret Iskandar Zainol memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur tuduhan.

Seramai 17 orang individu didakwa atas tuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya pada 2018.
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret membebaskan 17 lelaki yang didakwa merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya pada 2018, tanpa memanggil mereka membela diri.

Majistret Iskandar Zainol memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur tuduhan.

Katanya, tiada pengenalpastian positif tertuduh termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.

“Tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan ekshibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan,” katanya.

Iskandar turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan berikutan pembebasan tertuduh.

Mereka yang didakwa terdiri daripada Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Faisal, Ashraf Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.

Kesemua mereka, yang berusia antara 17 hingga 47 tahun, didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara 2 pagi dan 5 pagi pada 26 Nov 2018.

Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing akan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Perbicaraan yang bermula pada 2019 itu menyaksikan 20 saksi memberikan keterangan untuk pendakwaan di hadapan tiga majistret, manakala empat timbalan pendakwa raya menjalankan pendakwaan.

Kirthiraj Rajasundram, Azlan Roni, Hezri Shaharil, Adi Zulkarnain Zulkafli tampil selaku peguam mewakili tertuduh.

Kes itu turut menarik perhatian masyarakat selepas anggota bomba Adib Kassim, yang cedera ketika bertugas di tempat kejadian, meninggal dunia di Institut Jantung Negara sebulan kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.