Seludup 6,850 kura-kura ke Chennai dari KLIA, 2 penumpang ditahan

Seludup 6,850 kura-kura ke Chennai dari KLIA, 2 penumpang ditahan

Pihak berkuasa India berkata kura-kura berkenaan jenis ‘red-eared slider’ iaitu spesies invasif di Tamil Nadu.

Pihak berkuasa di Tamil Nadu menemui hampir 6,900 kura-kura ‘red-eared slider’ dalam bagasi dua penumpang yang tiba dari Malaysia. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa lapangan terbang di Tamil Nadu, India merampas hampir 6,900 kura-kura daripada dua penumpang lelaki yang tiba di Chennai dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan AirAsia.

Akhbar The Hindu melaporkan, penumpang berkenaan ditahan pegawai kastam yang bertindak atas maklumat khusus. Pegawai berkenaan dilaporkan menemui 6,850 kura-kura “red-eared slider” bersaiz kecil di dalam beg milik dua penumpang itu.

Haiwan berkenaan dilaporkan dibawa masuk ke negara itu tanpa sebarang dokumen atau lesen import sah. Kedua-dua penumpang itu telah ditahan.

Jabatan perhutanan Tamil Nadu berkata, kura-kura jenis berkenaan berasal dari tenggara AS, tetapi adalah spesies invasif di Tamil Nadu.

Jabatan itu berkata ia dalam proses memindahkan kura-kura berkenaan ke negara asal, manakala pihak kastam berkata kes itu kini dalam siasatan.

Pada April, pihak berkuasa lapangan terbang India merampas 22 ular yang ditemui dalam bagasi seorang wanita Malaysia yang tiba di Chennai dari Kuala Lumpur.

Pada Oktober tahun lalu, direktorat risikan hasil melaporkan telah menahan dua orang dan merampas 600 haiwan eksotik hidup bernilai hampir RM1.7 juta daripada konsainan Malaysia yang diisytiharkan secara palsu sebagai ikan akuarium di Mumbai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.