Laporan dibuat terhadap pendakwah dakwa saingan PAS ‘musuh Allah’

Laporan dibuat terhadap pendakwah dakwa saingan PAS ‘musuh Allah’

Seorang wakil dari pusat media PH berkata kenyataan Syeikh Zainul Asri Romli berbaur hasutan.

Himpunan Kedah Berselawat yang menampilkan pendakwah Syeikh Zainul Asri Romli. (Gambar YouTube)
PETALING JAYA:
Seorang wakil dari pusat media Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap pendakwah Syeikh Zainul Asri Romli atas dakwaan menyamakan musuh PAS sebagai “musuh Allah” dalam Himpunan Kedah Berselawat Sabtu lalu.

Dalam laporan dilihat FMT, pengadu Muhammad Yahaya mendakwa Zainul dalam ucapannya berkata beliau berharap “Allah akan mempertahankan Kedah daripada dijatuhkan musuhNya” dan Islam akan menang.

Muhammad mendakwa kenyataan itu, yang dibuat merujuk PRN akan datang, berbaur hasutan.

“Kenyataan sebegini jelas boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat. Ia juga boleh mengancam kestabilan dan keselamatan negara serta menggugat ketenteraman awam.”

Beliau mendakwa istilah “musuh Allah” sering digunakan pengganas dan ekstremis bagi mendorong pengikut mereka melanggar undang-undang.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, kenyataan Zainul “menyebabkan penyokong PAS lebih radikal” dan menggunakan PRN sebagai medan perang umat Islam terhadap bukan Islam.

Katanya, ini adalah laporan polis kedua dibuat terhadap Zainul, selepas laporan pertama di Kedah, tetapi beliau tidak mendedahkan butiran laporan pertama itu.

“Kita akan memastikan sekiranya kenyataan tidak bertanggungjawab ini tidak dihentikan, kita akan terus buat laporan polis di seluruh negara supaya kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mereka ini yang sememangnya tidak bertanggungjawab mengapi-apikan sentimen agama untuk tujuan kepentingan peribadi mereka,” katanya di luar IPD Dang Wangi.

Beliau yakin Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail akan mengambil langkah proaktif bagi mengekang perkara ini.

“Tapi kalau itu kita lihat agak perlahan, kita sendiri akan bertemu dengan menteri untuk mengangkat isu ini supaya diberikan perhatian segera dan serius oleh kerajaan.”

Zainul ialah pendakwah bebas dan bekas timbalan ketua Majlis Ulama PAS Kedah.

Beliau terpalit kontroversi pada Februari lalu apabila mendakwa sebuah masjid di Pulau Pinang dijadikan rumah ibadat bukan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.