Jangan layan pendapat peribadi tak diendors BN, Zahid beritahu rakan gabungan

Jangan layan pendapat peribadi tak diendors BN, Zahid beritahu rakan gabungan

Ahli MKT Umno Lokman Adam baru-baru ini melabel MIC dan MCA sebagai 'biawak hidup' dan mencetuskan reaksi kurang senang pemimpin parti terbabit.

Zahid Hamidi pada sidang media perasmian persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi meminta rakan komponennya tidak “melayani” sebarang kenyataan sensasi dikeluarkan individu dalam gabungan itu.

Presiden Umno itu tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin namun dipercayai berkait kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam baru-baru ini kerana melabel MIC dan MCA sebagai “biawak hidup”.

“Tentunya dalam situasi genting seperti ini tak perlu ada isu yang dibangkitkan kerana kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pemimpin dari pelbagai parti tentunya tidak dialu-alukan.

“Kenyataan yang tidak diendors oleh pemimpin utama, parti tidak endors kepada pendapat peribadi sebegitu,” katanya pada sidang media perasmian persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23.

“Jangan layan pendapat peribadi individu dan itu akan dipersepsikan kita tidak berada di tahap kebersamaan,” kata Zahid.

Semalam, Pemuda MCA mencadangkan parti itu tidak bertanding pada PRN dan tidak membantu calon BN yang sombong selepas “berkawan” dengan DAP.

Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Penerangan MIC, Thinalan Rajagopalu membidas Lokman, dengan meminta beliau mencadangkan kepada Zahid supaya mengeluarkan parti itu daripada gabungan berkenaan, jika menjadi beban.

Sementara itu, mengenai ketegangan di Rusia Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kerajaan mengikuti rapat perkembangan situasi negara tersebut dan usaha membawa pulang rakyat Malaysia sudah dilaksanakan jika keadaan memburuk.

“Kementerian Luar sudah memberi taklimat kepada perdana menteri dan saya pada Sabtu lalu mengenai keselamatan 775 rakyat kita di sana.

“Sudah ada usaha dilakukan oleh Wisma Putra untuk bawa balik rakyat Malaysia jika keadaan semakin teruk,” katanya.

Baru-baru ini, Rusia dilaporkan tegang apabila jalan raya dan kediaman dirosakkan oleh pemberontakan tentera Wagner.

Pemberontak bersenjata Wagner diketuai Yevgeny Prigozhin, berikrar pada Jumaat mahu menggulingkan kepimpinan tentera Rusia, mencetuskan krisis terbesar dalam beberapa dekad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.