Razali ‘bukan penasihat Guan Eng’, Harakah digesa minta maaf

Razali ‘bukan penasihat Guan Eng’, Harakah digesa minta maaf

Setiausaha politik Lim Guan Eng berkata Harakah Daily diberi tempoh 48 jam mengemukakan permohonan maaf atau berdepan tindakan saman fitnah.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily mendakwa bekas ahli DAP, Razali Rahman pernah berkhidmat sebagai penasihat Lim Guan Eng.
GEORGE TOWN:
Bekas ahli DAP, Razali Rahman, tidak pernah berkhidmat sebagai penasihat khas kepada Lim Guan Eng seperti didakwa lidah rasmi PAS, Harakah Daily, kata pembantu bekas menteri kewangan itu.

Wong Hon Wai, yang juga setiausaha politik pengerusi DAP itu berkata, artikel yang diterbitkan Harakah pada Jumaat, melaporkan Razali menyertai PAS, bersifat fitnah.

Wong berkata, Razali tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam parti mahupun kerajaan Pulau Pinang sebagaimana dilaporkan Harakah.

Artikel Harakah itu melaporkan, selain penasihat khas kepada Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, Razali turut menyandang beberapa jawatan dalam DAP, seperti naik ketua Pemuda DAP Pulau Pinang dan setiausaha publisiti DAP.

“Saya minta Harakah Daily untuk menarik balik berita ini dan memohon maaf kepada YB Lim Guan Eng dalam masa 48 jam dan sekiranya tidak, tindakan undang-undang fitnah akan menyusul,” kata Wong dalam kenyataan.

Razali, yang menyertai DAP pada 2008, disingkirkan daripada parti itu pada 2011 kerana mendakwa ia dibiayai Israel.

Beliau turut menuduh DAP terlibat dalam menjadikan Malaysia negara Kristian, dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

DAP dalam kenyataan pada 2016 menyangkal dakwaan bahawa Razali menjadi penasihat khas Lim ketika beliau berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang, bermula 2008 hingga 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.