
Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Shahrizat Jalil, menyatakan kebimbangan kumpulan kanak-kanak tersebut tidak mendapat akses kepada hak asasi manusia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, dan tempat tinggal.
Beliau yang juga pengerusi majlis hal ehwal wanita dan keluarga Umno, merujuk kepada spekulasi pemansuhan Perkara 14(1)(b) dalam Bahagian II Perlembagaan, menyatakan “tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi
warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini”.
Shahrizat berkata, peruntukan berkenaan merupakan satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah, dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan menimpa mereka.
“Jika kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, saya melihat implikasi kemudaratan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, menghapuskan perlindungan yang sedia ada terhadap kanak-kanak yang terpinggir dan terbuang ini hanya akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu.
“…dan pada masa yang sama menggandakan lagi cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat,” katanya.
Justeru, beliau mendesak menteri dalam negeri mengkaji semula cadangan pindaan yang telah diutarakan agar ia dapat mengangkat prinsip keadilan dan ihsan yang menjadi matlamat asal gesaan pindaan peruntukan berkenaan kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan.