2 premis judi dalam talian diserbu, 13 warga asing ditahan

2 premis judi dalam talian diserbu, 13 warga asing ditahan

Warga asing yang ditahan, berusia antara 20 hingga 36 tahun, disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, menurut polis.

Kedua-dua premis yang diserbu di Jalan Kuchai Lama pada Jumaat. disyaki terlibat dalam mengurus serta mempromosikan aktiviti perjudian. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seramai 13 warga asing, termasuk lima wanita, ditahan polis dalam serbuan berasingan di dua pangsapuri yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Dalam serbuan dilakukan antara 4 hingga 4.45 petang itu, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk lima set komputer, lima unit komputer riba, 14 telefon bimbit, dan dua unit penghala (router).

“Semua warga asing yang ditahan itu berumur antara 20 hingga 36 tahun dan disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” kata Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor, lapor Bernama.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua premis ini disyaki terlibat dalam mengurus serta mempromosikan aktiviti perjudian.

“Analisis pakar judi terhadap barangan rampasan mendapati wujud aktiviti yang disyaki berkaitan dengan unsur-unsur perjudian dalam talian,” kata Amihizam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti perjudian mahupun kegiatan jenayah lain diminta menyalurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields menerusi talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.