Pecat Pua sebagai penasihat anda, pemimpin MCA cabar Loke

Pecat Pua sebagai penasihat anda, pemimpin MCA cabar Loke

Tony Pua dilantik penasihat dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook pada Mei 2022.

Ti Lian Ker (kiri) mencabar Loke Siew Fook (tengah) memecat Tony Pua (kanan) bagi membuktikan komitmen DAP terhadap kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin MCA mencabar Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook memecat penasihat dasarnya Tony Pua yang mencetuskan kontroversi dengan melabelkan Barisan Nasional (BN) dan Umno “pakatan korup”.

“Pua sebenarnya bukanlah tiada jawatan dalam parti seperti didakwa setiausaha agungnya.

“Beliau ialah penasihat dasar kepada setiausaha agung DAP sejak 18 Mei tahun lepas,” kata Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dalam kenyataan.

“Justeru, Loke perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Pua…atau memecatnya sebagai penasihat dasarnya bagi membuktikan komitmen DAP kepada kerajaan perpaduan.

“Saya cabar awak Loke!”

Dalam majlis makan kutipan dana DAP malam tadi, Pua dilaporkan berkata, penyokong PH perlu membuktikan “sebuah parti berbilang bangsa yang bersih dan tidak korup” boleh melakukan lebih baik “berbanding pakatan korup seperti BN, Umno dan Bersatu”.

Susulan itu, Loke hari ini dilaporkan berkata, Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap parti sekutu kerana pucuk pimpinan DAP telah memutuskan untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi kestabilan politik.

Katanya, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti ketika ini.

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara itu bercakap atas kapasiti individu, bukannya mewakili kepimpinan DAP.

Ti memuji DAP telah “belajar menghormati sensitiviti Umno”.

“DAP masih berusaha keras untuk (mendapat) undi Melayu Umno…tidak seperti MCA, penyokong Umno masih meragui DAP berdasarkan kenyataan provokatif lampau mereka dan ‘politicking’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.