Mesyuarat MA63 bincang cadangan ambil alih Pelabuhan Bintulu

Mesyuarat MA63 bincang cadangan ambil alih Pelabuhan Bintulu

Cadangan ambil alih pelabuhan itu diperinci pada Julai ini.

Sarawak ingin mengambil alih pelabuhan itu untuk menjadi sebahagian kluster pelabuhan negeri. (Gambar Bintulu Port Holdings Berhad)
KUCHING:
Perbincangan bagi menyelaraskan isu berkaitan hasrat Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan akan diperincikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada awal Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal MA63 berkata inti pati taklimat mengenai perancangan untuk menukar status pelabuhan itu oleh timbalan premier Sarawak Douglas Uggah Embas yang diadakan semalam juga akan diusulkan dalam mesyuarat itu.

“Hasrat Sarawak supaya pelabuhan itu dijadikan ‘single entity’. Jadi, saya akan bawa (inti pati) taklimat (oleh Uggah) semalam dan akan memanggil jawatankuasa untuk bermesyuarat serta mendapat panduan arah daripada Perdana Menteri. Mesyuarat akan diadakan pada minggu pertama atau kedua Julai ini.

“Isu pengambilalihan pelabuhan ini dikemukakan kepada menteri pengangkutan (Loke Siew Fook) tetapi belum ada mesyuarat dilakukan berkaitan perkara tersebut jadi saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 akan mengadakan mesyuarat bagi selaraskan hasrat kerajaan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘MyKasih Love My Neighbourhood’ bagi Parlimen Petra Jaya.

Sebelum ini, media melaporkan permintaan Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu bertujuan menjadikannya sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri yang akan dikawal selia oleh pihak berkuasa pelabuhan pusat.

Beliau berkata penukaran status pelabuhan untuk dikembalikan kepada Sarawak adalah bersesuaian dengan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak yang meletakkan pelabuhan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.