Akui silap sendiri, Teresa bidas Adun PAS berkait poster palsu Felda

Akui silap sendiri, Teresa bidas Adun PAS berkait poster palsu Felda

Ahli Parlimen Seputeh berkata Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya tidak sepatutnya menolak tanggungjawab kepada pengendali Facebooknya.

Teresa Kok menafikan beliau dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Idris Jusoh.
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyindir Adun PAS kerana “menolak” tanggungjawab kepada pengendali Facebooknya berhubung sebaran poster pelantikannya sebagai pengerusi Felda yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya tidak sepatutnya menolak tanggungjawab kepada pengendali akaun media sosial rasminya itu.

“Akuilah kesilapan sendiri, ini baru jiwa bertanggungjawab,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Khalil yang mendakwa hantaran berhubung pelantikan Teresa sebagai pengerusi Felda, menggantikan Idris Jusoh dibuat pengendali Facebooknya.

“Permohonan maaf secara terbuka…posting (hantaran) tadi (semalam) bukanlah dari pihak Adun tetapi ‘admin’ yang mengelola ‘page’ (halaman),” kata wakil rakyat Kubu Gajah sejak 2018 itu.

Felda menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuat kuasa 30 Jun.

Teresa turut menafikan dilantik ke jawatan itu.

Jawatan pengerusi Felda kosong selepas Idris menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.