Kumpulan gesa RCI bagi pekerja Indonesia disebat, dipenjara secara salah

Kumpulan gesa RCI bagi pekerja Indonesia disebat, dipenjara secara salah

Pelbagai NGO hak asasi manusia dan badan kesatuan mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada Sabri Umar bagi pihak Malaysia.

Sabri Umar selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi Tawau Julai lalu. (Gambar Rakyat Malaysia Bantah Hukuman Mati dan Seksaan)
PETALING JAYA:
Sebanyak 27 NGO hak asasi manusia dan kesatuan sekerja menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes seorang pekerja Indonesia dipenjara dan disebat secara salah atas dakwaan tidak memiliki pas kerja sah.

“Kami menggesa Malaysia menubuhkan RCI dan meneliti kes Sabri Umar serta pencabulan hak asasi lain yang mungkin menimpa pekerja asing lain,” menurut kumpulan itu dalam kenyataan bersama.

Mereka berkata, pendirian semasa Malaysia nampaknya ialah segera menghantar pulang pekerja asing walaupun mereka mempunyai tuntutan tertunggak terhadap majikan sekarang atau terdahulu.

“Dasar ini harus diubah dan tidak boleh ada penghantaran pulang pekerja asing atau warga asing sehingga Kementerian Sumber Manusia menentukan tiada tuntutan berkaitan pekerjaan tertunggak atau belum selesai terhadap majikan mereka.”

Kumpulan itu berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu menentukan tiada tuntutan tertunggak terhadap pihak lain atau pekerja asing itu tidak perlu menjadi saksi dalam kes lain.

Mereka menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada Sabri bagi pihak Malaysia, selain “menawarkan pampasan juga dianggap adil”.

Kenyataan itu antara lain ditandatangani Aliran, Rakyat Malaysia Bantah Hukuman Mati dan Seksaan (Madpet), Inisiatif Utara-Selatan (NSI), Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan Sabah (Stieu), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Tabung Amanah Teoh Beng Hock untuk Demokrasi.

Sabri ditahan pada April 2022, sebelum dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sementara menunggu rayuannya didengar, dia disebat di Penjara Tawau pada 23 Jun 2022.

Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri pada Julai 2022, selepas peguamnya membuktikan dia memiliki pasport sah Indonesia dan pas kerja daripada majikannya, Fu Yee Corp.

Selepas dibebaskan, Sabri memerlukan pas khas untuk kekal di Malaysia selama sebulan bagi menuntut keadilan, tetapi Jabatan Imigresen hanya memberi pas dua minggu kepadanya. Ini berlaku dua kali dan rayuan dikemukakan kepada KDN, tetapi Sabri belum menerima keputusan berhubung rayuannya.

Sabri memfailkan saman terhadap menteri dalam negeri, ketua menteri Sabah, Jabatan Imigresen dan beberapa pihak lain di Mahkamah Tinggi Tawau pada Ogos 2022 bagi memohon perintah mahkamah meminta menteri menyatakan keputusan berhubung dua rayuannya terhadap keputusan Jabatan Imigresen.

Sabri turut memfailkan tuntutan untuk dikembalikan pekerjaaannya di Mahkamah Perusahaan pada Mei, tetapi kes itu belum dibicarakan.

Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan Sabri untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkannya tinggal di negara ini secara sah sehingga “usaha menuntut keadilannya berakhir”. Dia kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.