Kubur besar Wang Kelian, 4 warga Thailand didakwa esok

Kubur besar Wang Kelian, 4 warga Thailand didakwa esok

Semua mereka bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar esok selepas diekstradisi ke Malaysia.

Salah satu daripada 28 penjara di dalam hutan di mana polis menemui kubur besar di Wang Kelian pada 2015. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Malaysia berjaya mendapat perintah ekstradisi empat individu dari Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata semua individu tersebut sudah berada di Malaysia dan akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kangar esok untuk pertuduhan.

“Sepanjang enam tahun ini kerajaan Malaysia dan Thailand menjalankan siasatan untuk mengesan dan mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi ke atas 10 individu warganegara Thailand pada Januari 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak berjaya mengesan empat daripada 10 individu itu dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

Pada Mei 2015, polis menemukan 139 kubur di 28 kem sementara di Wang Kelian berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang. Kubur yang sama turut dijumpai di Thailand.

Kebanyakan yang menjadi mangsa sindiket itu berasal dari Myanmar dan Bangladesh.

Dalam pada itu, Saifuddin Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, KDN komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Katanya, usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.