
Biarpun maklum mengenai isu 8.4% calon gagal, Fadhlina berkata ketika ini KPM mahu menonjolkan lebih 90% yang berjaya mendapatkan sijil dalam peperiksaan itu.
“Kita perlu juga melihat kepada keseluruhan, dari segi kejayaan untuk bergerak ke hadapan.
“Itu yang kena kita angkat. Yang lebih kita sedang lakukan intervensi. Kita kena fokus kepada apa seterusnya,” katanya selepas merasmikan pelancaran projek peguam bela keadilan rakyat di Dewan Serbaguna PJS 1/35.
Fadhlina berkata, seiring intervensi dilakukan, beliau meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memantau kehadiran calon SPM 2023 dari semasa ke semasa.
Menjawab pertanyaan mengenai peratusan kegagalan subjek Matematik yang tinggi bagi calon SPM 2022, Fadhlina berkata adalah tidak adil membawa naratif kegagalan atau calon buta Matematik.
“Kita anak murid kita ada kekuatan-kekuatan yang dilihat boleh dilonjakkan potensi mereka pada SPM akan datang,” katanya.
Jelas beliau lagi, guru-guru juga akan melakukan “latihan intervensi” bagi semua subjek.
“Saya nak tekankan bahawa semua guru telah melakukan sedaya upaya mereka untuk memastikan bahawa setiap subjek ini diberikan penekanan,” katanya.
Pada 15 Jun lalu, Fadhlina berkata, sebanyak 8.4% daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.