
Bekas menteri kesihatan itu berkata wujud pandangan tidak membina di media sosial yang seakan-akan mahu melagakannya dengan Anwar dan Rafizi berhubung isu terbabit.
“Menteri ekonomi tidak hadir pun tidak apa sebab akhirnya mereka akan bertukar pandangan di peringkat mesyuarat jemaah menteri atau pun di majlis tindakan ekonomi,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap.
Sebelum ini, pengguna media sosial menimbulkan tanda tanya berhubung ketidakhadiran Rafizi dalam perjumpaan di antara Anwar bersama ahli ekonomi dan pakar industri bagi membincangkan hala tuju negara.
Turut hadir dalam perbincangan itu adalah Naib Presiden Umno Johari Ghani dan Khairy.
Perbincangan itu turut melibatkan ahli ekonomi lain seperti Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM) Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.
Sementara itu, Khairy juga menegaskan bahawa tiada unsur atau perbincangan politik dalam perjumpaan bersama perdana menteri pada pertemuan itu.
Katanya, fokus utamanya hanya membincangkan perihal hal ehwal negara serta pertukaran pandangan, cadangan dan idea untuk penyelesaian jangka panjang.
“Mesyuarat itu tidak ada unsur politik, tidak ada perbincangan isu politik langsung, ia cuma tertumpu kepada ekonomi sahaja dan tertumpu kepada idea-idea dan cadangan yang konkrit,” katanya.