Kes fitnah Rewcastle-Brown kekal didengar di mahkamah Kuala Terengganu

Kes fitnah Rewcastle-Brown kekal didengar di mahkamah Kuala Terengganu

Hakim menolak permohonan editor Sarawak Report itu untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi KL.

Clare Rewcastle-Brown didakwa in absentia di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada September 2021 kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang berdepan tuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah akan kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy menolak permohonannya untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Muniandy berkata, kuasa pemindahan bawah Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) hanya perlu dilaksanakan jika mahkamah mendapati perbicaraan menjadi tidak adil atau berat sebelah jika ia tidak dilaksanakan.

“Permohonan oleh pemohon (Rewcastle-Brown) kurang merit. Oleh itu ditolak,” kata hakim sambil menambah, kebimbangan Rewcastle-Brown bahawa beliau tidak akan diberi perbicaraan yang adil di Kuala Terengganu adalah tidak munasabah.

Hakim juga memberikan beberapa alasan, antaranya tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, majistret yang mendengar kes di Kuala Terengganu adalah bebas dan tidak berat sebelah, dan beliau (Rewcastle-Brown) tidak dihalang menyampaikan hujahan terhadap fakta dan undang-undang sebelum majistret mencapai sesuatu penemuan.

“Jika keputusan kes itu tidak memihak kepada pemohon, beliau berhak merayu keputusan itu ke Mahkamah Tinggi menurut Seksyen 307(1) CPC,” katanya.

“Pemohon tertakluk kepada undang-undang negara di mana beliau didakwa melakukan jenayah, oleh itu sistem perundangan Malaysia, termasuk proses keadilan jenayah negara diguna pakai.”

Hakim kemudiannya memerintahkan kes itu didengar di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan perlu diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagi memandangkan tarikh tuduhan sudah lama, iaitu pada 23 Sept 2021.

Rewcastle-Brown, warga United Kingdom, didakwa in absentia di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada September 2021 atas tuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah melalui buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman mewakili pendakwaan, manakala Rewcastle-Brown diwakili peguam Guok Ngek Seong.

Hadir sama pada prosiding hari ini, Siti Anis Che Ab Wahab yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Sultanah Nur Zahirah.

Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menetapkan 25 Jun untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.