Duta Indonesia bantah award rendah kes amah lama tak dibayar gaji

Duta Indonesia bantah award rendah kes amah lama tak dibayar gaji

Kedutaan Indonesia kecewa kerana Mahkamah Perusahaan tidak mengambil kira perubahan kadar gaji.

Duta Indonesia Hermono berkata pihaknya mendapati banyak kes pembantu rumah tidak dibayar gaji di Malaysia.
PETALING JAYA:
Kedutaan Indonesia tidak berpuas hati terhadap keputusan award Mahkamah Perusahaan kepada dua pembantu rumah warga negara itu yang tidak dibayar gaji untuk tempoh lama.

Mereka kecewa kerana mahkamah tidak mengambil kira kadar gaji yang berubah sepanjang tahun dalam membuat keputusannya.

Duta Indonesia ke Malaysia Hermono berkata pihaknya akan menghantar nota tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Perusahaan membabitkan kes di Pelabuhan Klang dan Sitiawan, minggu lalu.

Menurutnya, dalam kes pertama, majikan tidak membayar gaji seorang pembantu rumah selama 16 tahun bermula dari 2016 tetapi mahkamah hanya memberikan award RM73,682.

Jelasnya, wanita itu hanya menerima RM2,500 pertama diikuti bayaran seterusnya RM5,000.

“Pengiraan ini berdasarkan gaji bulanan sebanyak RM450 dari tahun 2006. Kami membantah kerana gaji seharusnya berubah sepanjang tahun dan tidak kekal sama.

“Ini bermakna dia tidak mendapat kenaikan gaji selama 180 bulan. Kami tidak bersetuju dengan ini,” katanya kepada FMT.

Hermono berkata dalam kes kedua pula, seorang pembantu rumah bekerja sejak 2004 tetapi majikan tidak membayar gajinya selama 10 tahun bermula dari 2013.

Beliau berkata Mahkamah Perusahaan memerintahkan majikan untuk membayar gaji tertunggak selama 10 tahun dengan kadar bulanan hanya RM1,100.

“Kami berpendapat bahawa keputusan ini tidak adil kerana dia bekerja selama 10 tahun tetapi hanya dibayar jumlah ini untuk 120 bulan tanpa mengambil kira kenaikan tahunan dan perubahan gaji minimum.

“Kami sedang menyediakan nota tersebut melalui Kementerian Luar kami,” katanya.

Sementara itu, dalam forum di Universiti Malaya semalam, Hermono membangkitkan tiga isu sering menimbulkan pergeseran di antara rakyat kedua-dua negara – layanan buruk terhadap pekerja Indonesia, pertikaian sempadan, dan perkongsian warisan budaya.

Beliau berkata kedua-dua negara berjaya menyelesaikan dua isu tersebut tetapi isu-isu yang berkaitan dengan pekerja Indonesia, seperti penderaan mental dan fizikal, gaji yang tidak dibayar serta eksploitasi belum lagi diselesaikan.

Katanya, pihaknya menemui banyak kes gaji yang tidak dibayar majikan dan menekankan perlunya untuk menguatkan perlindungan yang diberikan kepada pekerja Indonesia di Malaysia.

Hermono berkata negaranya menjalankan operasi besar-besaran dalam beberapa bulan lalu untuk menangkap penyeludup yang menghantar pekerja Indonesia tanpa dokumen untuk bekerja di luar negara, termasuk ke Malaysia.

“Lebih kurang 480 penyeludup ditahan. Kami berharap dapat mengurangkan bilangan pekerja tanpa dokumen di Malaysia dengan menjalankan operasi seperti ini.

“Kami tidak boleh bergantung hanya kepada Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya yang menambah ramai majikan cenderung untuk mengambil pekerja haram untuk mengurangkan kos mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.