(KEMAS KINI) Tajaan untuk perubatan, pergigian, farmasi hanya di IPT tempatan, kata JPA

(KEMAS KINI) Tajaan untuk perubatan, pergigian, farmasi hanya di IPT tempatan, kata JPA

Tarikh tutup permohonan pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 9A dalam peperiksaan SPM tahun lalu dilanjutkan hingga 23 Jun.

Penajaan untuk pengajian ijazah berkaitan perubatan hanya tersedia kepada pelajar mendapat sekurang-kurangnya 9A+ dalam SPM tahun lalu (Gambar Bernama)

Nota editor: Artikel sebelum ini seolah mencadangkan bahawa masih ada penajaan JPA bagi kursus-kursus bidang perubatan, pergigian, dan farmasi di universiti-universiti luar negara. Artikel telah dikemaskini agar lebih jelas. Kami memohon maaf atas kekeliruan.

PETALING JAYA:
Seramai 601 pelajar yang memdapat sekurang-kurangnya sembilan A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu kini boleh memohon tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam berbentuk pinjaman boleh ubah.

Daripada jumlah itu, 310 diberi pilihan untuk memohon pinjaman bagi mengikuti kursus-kursus ijazah pertama selain bidang perubatan, pergigian, dan farmasi, di UK, AS, dan Australia.

JPA berkata tajaan bagi pengajian luar negara terhad kepada kursus-kursus dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, sains sosial, dan industri kreatif; serta hanya di universiti dalam tangga teratas kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds (QS) 2022-2023.

Menurut dokumen yang dilihat FMT, pinjaman boleh ubah JPA untuk bidang perubatan, pergigian, dan farmasi hanya disediakan bagi kursus-kursus di dalam negara.

Bawah skim pinjaman boleh ubah, pinjaman oleh mereka yang bekerja dengan kerajaan selepas tamat pengajian akan diubah kepada biasiswa penuh, manakala mereka mereka yang menyertai firma berkaitan kerajaan perlu membayar balik 25% daripada kos.

Jika memilih untuk menyertai sektor swasta, mereka perlu memulangkan 50% daripada pinjaman.

Penerima tajaan yang memilih bekerja di luar negara akan diminta membayar balik jumlah keseluruhan.

Dalam maklum balas e-mel kepada pertanyaan, seorang pegawai berkata penajaan JPA untuk ijazah dalam bidang perubatan, pergigian, dan farmasi dimasukkan susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada satu sesi bersama mahasiswa di Universiti Sains Malaysia pada 12 Jun.

Tarikh turut permohonan dilanjutkan dari 16 Jun sebelum ini kepada 23 Jun.

Pelajar perlu menghadiri temu duga untuk penilaian dari 10 hingga 14 Julai, manakala nama calon berjaya akan diumumkan pada 4 Ogos.

Selain 20 universiti awam tempatan yang menawarkan perubatan, institusi swasta disenaraikan ialah Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Monash University Malaysia, Universiti Kuala Lumpur–Kolej Perubatan Diraja Perak, UCSI University, University of Cyberjaya (UoC), Universiti Pengurusan & Sains, Universiti Tunku Abdul Rahman, Taylor’s University, SEGi University, Lincoln University College dan WIDAD University College.

Untuk pergigian, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran di IMU, SEGi dan Lincoln, manakala institusi disenaraikan bagi farmasi ialah UCSI, IMU, UoC dan SEGi.

Menurut JPA, pelajar terpilih perlu mengikuti kursus pra-universiti di institusi tempatan dalam tempoh 24 bulan. Kursus tersebut termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi dan pelbagai kursus asasi di institusi kerajaan dan swasta.

Sebagai tambahan kepada program itu, JPA menawarkan tajaan untuk pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, dan sains sosial di Jepun, Korea Selatan, Jerman, dan Perancis.

Keperluan minimum untuk kursus itu sekurang-kurangnya lima A+ atau A dalam bahasa Melayu, matematik, matematik tambahan, fizik dan kimia. Selain itu, mereka mesti memperoleh sekurang-kurangnya A- dalam bahasa Inggeris dan Sejarah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.