
Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), beliau berkata syarikat telekomunikasi menandatangani perjanjian akses untuk membolehkan mereka menepati perkhidmatan 5G.
“Jadi saya harap menjelang 30 Jun ini kita akan ada beberapa pengumuman baik dan penting dari kalangan syarikat telekomunikasi. Mereka akan bersama dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dan pemegang ekuiti,” katanya.
Setakat Mei lepas, Fahmi berkata pencapaian pelaksanaan 5G di bawah DNB telah mencapai 62.1% dan ia satu perkara yang membanggakan.
Beliau berkata mesyuarat pasukan petugas 5G yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD Mohamad Fauzi Md Isa turut diadakan hari ini bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G mengikut aturan ditetapkan.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwi rangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk.
Menurutnya, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.
Mengenai keputusan kerajaan supaya Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera, Fahmi berkata perkara itu akan diusahakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) manakala tugas dan fungsi CyberSecurity Malaysia (CSM) akan diperjelas supaya tidak berlaku pertindihan.
“Ini penting kerana di mana-mana negara perlu ada badan kawal selia industri keselamatan siber. Di Malaysia kita menuju ke arah itu dan ini akan diusahakan bersama NACSA.
“Insya-Allah kita harapkan NACSA sebagai badan kawal selia atau entiti yang ambil alih nanti bila akta keselamatan siber ada manakala CSM memainkan peranan sebagai agensi penting bagi memastikan keselamatan siber di Malaysia terkawal dan terjamin,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 15 Jun berkata mesyuarat jawatankuasa keselamatan siber negara memutuskan agar satu rang undang-undang keselamatan siber digubal segera bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.