Maqis gagal cubaan seludup gelatin RM635,000

Maqis gagal cubaan seludup gelatin RM635,000

Gelatin dibawa masuk itu tidak mengikut syarat rawatan ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam import permit.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang menemukan gelatin dianggarkan bernilai RM635,383.33. (Gambar Maqis)
SHAH ALAM:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 18 tan gelatin dari Pakistan yang cuba diseludup menerusi Pelabuhan Klang Utara, Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena oleh pegawainya pada 11.30 pagi menemukan gelatin dianggarkan bernilai RM635,383.33.

“Pemeriksaan mendapati gelatin dibawa masuk itu tidak mengikut syarat rawatan yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam import permit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perbuatan mengimport dagangan yang tidak mematuhi syarat permit dikeluarkan oleh Maqis adalah menjadi kesalahan bawah Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (2), akta sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sobri berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian diimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.