DAP Sarawak cuma tahu komen negatif, kata menteri

DAP Sarawak cuma tahu komen negatif, kata menteri

Abdul Karim Rahman Hamzah membuat kenyataan itu selepas ketua Pemuda DAP Sarawak mengkritik perbelanjaan RM30 juta bagi projek tiang bendera di negeri itu.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata DAP Sarawak akan mencari isu untuk dikritik sekalipun kerajaan negeri berjaya menguruskan kewangan dengan baik.
PETALING JAYA:
Menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak mengkritik DAP Sarawak kerana komen yang hanya bersifat negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak.

“Sekalipun (kerajaan) negeri berjaya dengan cemerlang dalam menguruskan kewangan, sumber atau infrastruktur, DAP Sarawak akan terus memilih berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik,” kata Abdul Karim Rahman Hamzah kepada FMT.

“Biarlah mereka menyalak. Mungkin pada mereka, yang menyalak paling kuatlah pemimpin paling kuat bekerja dan patut dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan.”

Terdahulu hari ini, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

Ketuanya Peter Hee, malah menuduh 76 Adun GPS gagal menangani kesan ekonomi teruk dihadapi rakyat dan meringankan beban mereka.

Beliau mendakwa Adun GPS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post semalam melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

Tiang bendera setinggi 99m itu dikatakan 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Terletak antara kompleks DUN dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii mendesak kerajaan Sarawak telus mengenai projek tiang bendera itu, sekalipun dibiayai swasta.

Yii, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ketua pemuda PH berkata, ini penting bagi memastikan projek itu tidak digunakan sebagai habuan untuk sebarang kontrak daripada kerajaan negeri, sama ada pada masa ini atau akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.