
Rajesh Nagarajan, pengasas Lawyers for Animal Right (LFAR) berkata kera berkenaan adalah spesies ekor panjang yang terlindung di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, dan membunuhnya menyalahi undang-undang, sekalipun Perhilitan mematuhi SOP.
“Tiada SOP dapat mengatasi akta parlimen. Melihat kepada pembunuhan kera-kera di Batu Caves itu, jelas Perhilitan tidak boleh dipercayai sebagai pelindung hidupan liar di Malaysia.
“Kami menggesa Nik Nazmi mewujudkan panel bebas bagi menyiasat kejadian itu,” katanya kepada FMT.
Rajesh berkata, Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim wajar bercuti segera sehingga siasatan itu selesai, malah pegawai yang terlibat dalam operasi itu juga patut didakwa.
“Sebagai tambahan, polis patut meneruskan siasatan dan semua yang membunuh kera berkenaan didakwa mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.
Kenyataannya itu susulan Perhilitan Selangor berkata operasi pengurusan kawalan konflik kera agresif di pangsapuri SunwayMas itu mematuhi SOP ditetapkan.
Jabatan berkenaan berkata operasi dilaksanakan berdasarkan aduan gangguan kera di kawasan tersebut yang menyebabkan kerosakan harta benda dan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.
Perhilitan turut menegaskan prosedur suntikan pelalian bagi tujuan menidurkan atau merehatkan kera itu dilaksanakan bagi memindahkan haiwan itu dalam perangkap.
Sementara itu, Avatar Singh Kundu Singh, penduduk dan bekas pengerusi badan pengurusan bersama kompleks pangsapuri berkenaan mendesak butiran lanjut mengenai SOP didakwa dipatuhi Perhilitan itu.
“Apa SOP dipatuhi? Kenapa mereka menembak kera yang lari (selepas ditembak)? Mereka juga tidak mengutip bangkai kera berkenaan,” katanya kepada FMT.
Avatar yang sebelum ini membuat laporan terhadap Perhilitan berhubung operasi itu turut menolak dakwaan jabatan berkenaan bahawa kera-kera itu telah diberi pelali.
Beliau turut menggesa bedah siasat terhadap bangkai kera untuk mengetahui punca sebenar kematian.