2 beradik maut, pemandu lori tangki dituduh cuai

2 beradik maut, pemandu lori tangki dituduh cuai

Tertuduh berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Trafik Khas Kuantan.

Media sebelum ini melaporkan kereta dinaiki dua beradik dirempuh sebuah lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir, Kuantan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori tangki dihadapkan ke Mahkamah Trafik Khas Kuantan atas tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian dua beradik dalam nahas 13 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan berat itu tanpa kecermatan kepada pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Azwan di Jalan Kuantan-Segamat, dekat persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, Kuantan, 11 malam, 13 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999) dan sabitan bagi kesalahan itu boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain itu, lesen tertuduh juga boleh dibatalkan mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding itu, Fadhlin memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 berserta seorang penjamin bercagar.

Media sebelum ini melaporkan kereta dinaiki dua beradik itu dirempuh sebuah lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir.

Kejadian ketika hujan itu menyebabkan kereta dipandu Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.