
“Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Telegram untuk membendung jenayah yang berlaku di aplikasi berkenaan. Terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di Telegram.
“Sejak Januari 2020 hingga Mei 2023, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram serta mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang disampaikan dalam mesyuarat bersama wakil Telegram, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani hari ini.
“Insya-Allah, pertemuan hari ini permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi memberi amaran Telegram boleh dikenakan tindakan jika terus mengabaikan undangan kementerian untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung pelbagai aduan berkaitan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, scammer, serta pornografi.