
Wan Agyl Wan Hassan berkata, Prasarana tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir kerana ia bukan dalam perniagaan teras atau bawah bidang kuasa syarikat itu.
Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menggesa Prasarana, yang memiliki rangkaian transit aliran ringan dan bas Rapid, bekerjasama dengan pengendali pengangkutan lain, jika syarikat itu sendiri tidak dapat memenuhi keperluan pengangkutan awam negara.
Loke menjawab soalan di radio BFM berhubung cara meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dengan kekurangan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir.
Wan Agyl, bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah dibubarkan, berkata menjadi tanggungjawab PBT untuk membangunkan infrastruktur diperlukan bagi menyokong kesalinghubungan lebih baik kerana Prasarana tiada kuasa dalam perkara itu.
Katanya, SPAD sebelum ini mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pembuat keputusan di peringkat tempatan, tetapi agensi itu dibubarkan dan ditukar kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta diserap ke Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata, Loke “perlu memahami isu asas. Tiada perancangan (agensi) tunggal untuk sistem pengangkutan awam di negara ini,” katanya kepada FMT.
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, kenyataan Loke memberi imej tidak baik kepada pengurusan Prasarana, seolah-olah mereka tidak mampu menyelesaikan masalah pengangkutan awam berterusan.
Beliau bersetuju Prasarana perlu mengadakan libat urus dengan pakar dan pengendali pihak ketiga untuk menyediakan perkhidmatan batuan pertama dan terakhir lebih baik.
“Prasarana tidak boleh terus bekerja secara silo. Mereka perlu berhubung dengan pakar untuk membantu mereka dan mencari jalan menarik lebih ramai penumpang,” katanya.
Kesalinghubungan batuan pertama dan akhir merujuk cara pengguna pengangkutan awam bergerak dari rumahnya ke stesen pengangkutan terdekat.