IT berpotensi jadi ekonomi arus perdana, kata Fahmi

IT berpotensi jadi ekonomi arus perdana, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata, Malaysia kini destinasi pelaburan untuk pusat pemprosesan data.

Fahmi Fadzil berkata, negara perlu melakukan persiapan membabitkan penggubalan undang-undang dan kerangka kawal selia untuk memastikan teknologi kecerdasan buatan selamat digunakan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, bidang teknologi maklumat (IT) berpotensi menjadi sebahagian ekonomi arus perdana.

Beliau berkata, ini berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan kejayaan negara dalam menarik minat pemain industri teknologi data melabur di Malaysia.

“…dalam enam, tujuh bulan kebelakangan ini, Malaysia menjadi destinasi pelaburan untuk pusat pemprosesan data dan ini membolehkan kita ada ‘superhighway’ untuk data…kalau kita dah ada lebuh raya untuk pemprosesan data ini, apa yang ekonomi kita boleh jana…yang syarikat-syarikat di Malaysia boleh lakukan untuk membantu pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika ditemu bual penyampai Radio Emas, Zaharah Othman semasa menghadiri Minggu Teknologi London baru-baru ini.

Fahmi berkata, Malaysia juga perlu melakukan beberapa persiapan kerana penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas membabitkan penggubalan undang-undang dan kerangka kawal selia untuk memastikan teknologi itu selamat digunakan.

“Kita mesti ada beberapa persiapan, terutama dalam bidang AI, apa kerangka kawal selia, undang-undang yang kita perlu ada untuk memastikan AI selamat digunakan serta dimanfaatkan, sekali gus boleh membantu kita meningkatkan produktiviti dan ekonomi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.