Beri elaun munasabah kepada pelatih industri, PM beritahu majikan

Beri elaun munasabah kepada pelatih industri, PM beritahu majikan

Anwar Ibrahim berkata majikan perlu mempertimbangkan elaun munasabah untuk membantu pelajar menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

Anwar Ibrahim menggesa syarikat memberi elaun munasabah kepada pelatih industri yang perlu mengeluarkan kos ke tempat kerja selain makan dan minum.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa syarikat yang menawarkan latihan industri kepada pelajar untuk memberikan elaun munasabah kepada kumpulan berkenaan.

Anwar berkata walaupun perkara itu bukan paksaan, namun syarikat perlu mempertimbangkan bayaran munasabah bagi membantu pelajar menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

“Kepada syarikat-syarikat, bagilah elaun yang munasabah kepada mahasiswa kita kerana perjalanan tambang, makan mereka kena ambil kira.

“Saya bagi pihak anak-anak mahasiswa nak sampaikan keluhan mereka untuk diberi pertimbangan mengenai bayaran elaun,” katanya ketika berucap melancarkan program graduan pasaran modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti.

“Saya harap ada pertimbangan baik dari pihak saudara (majikan) untuk naikkan sedikit elaun.”

Pada 18 Jun, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kerajaan akan meneliti isu bayaran elaun pelajar yang menjalani latihan industri susulan laporan terdapat pelajar yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Ia menyusul kenyataan Anwar pada 30 Mei bahawa kerajaan akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih.

Dalam ucapannya, Anwar berkata CMGP akan memberi manfaat kepada 9,000 mahasiswa dalam industri pasaran modal dengan 600 orang daripadanya dijamin mendapat pekerjaan dalam industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun.

“Dengan menyediakan peluang mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda, program ini berupaya membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.