Ayob Khan bakal timbalan ketua polis negara?

Ayob Khan bakal timbalan ketua polis negara?

Pengarah JSJ Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay, yang pernah mengetuai bahagian anti-pengganas, dikatakan tersenarai pendek bagi jawatan timbalan KPN.

Ayob Khan Mydin Pitchay pernah berkhidmat sebagai ketua polis Johor, dari Februari 2020 hingga Disember 2021. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ayob Khan Mydin Pitchay dikatakan antara calon dipertimbangkan bagi jawatan timbalan ketua polis negara susulan keputusan Acryl Sani Abdullah Sani untuk berundur dari jawatan pegawai tertinggi polis.

Ayob, kini pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dikatakan antara empat nama disenarai pendek mengambil alih jawatan itu daripada Razarudin Husain, yang dijangka menggantikan Acryl bulan depan.

Sumber memberitahu FMT bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis sudah menghantar nama-nama terpilih kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Senarai itu termasuk pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Hazani Ghazali,” kata sumber itu.

Bagaimanapun sumber tidak mendedahkan dua nama calon lain.

September lalu, Hazani dinamakan pengarah operasi Bukit Aman bagi PRU15 untuk memastikan kelancaran pilihan raya.

Sebelum ini, Ayob mengetuai bahagian anti-pengganas dan kemudian dilantik ketua polis Johor, pada 2020.

Ketika di Johor, beliau menerima ugutan bunuh, yang dikatakan daripada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah dibubarkan. Ia dipercayai berkaitan penahanan dua Adun DAP yang didakwa mempunyai hubung kait dengan kumpulan berkenaan.

Pada Disember 2021, Ayob kembali ke Bukit Aman sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, sebelum dipindahkan ke JSJ pada April lalu.

Acryl memberitahu media bahawa beliau akan bersara pada minggu pertama Julai ini – tiga bulan lebih awal – selepas menerima tawaran pekerjaan di luar pasukan.

Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Oktober.

Dalam pada itu, sumber memberitahu FMT, Acryl dijangka dilantik sebagai pengerusi Bank Pembangunan.

FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak bank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.