
“Yang itu biarlah badan penyiasat, polis dan SPRM membuat keputusan. Mereka yang akan akan tentukan mengikut pertimbangan mereka. Saya tak mahu campur bab itu,” katanya kepada pemberita.
Saifuddin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan naungan politik mendapat “pulangan” daripada sindiket berkenaan dalam bentuk pendanaan politik.
Katanya, sindiket dalam talian itu mampu menjana RM250 juta setiap minggu dan mereka menyimpan keuntungan diperoleh dalam bentuk mata wang kripto.
Justeru, beliau menyeru polis supaya “terkehadapan” dalam penggunaan analitik data terhadap sindiket terbabit.
Pada Khamis, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat sindiket judi dalam talian mendapat naungan politik yang bertindak melindungi sindiket daripada dikenakan tindakan perundangan, dan kemudian mereka mendapat “timbal balas”.
Sehari selepas itu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis dan SPRM bekerjasama berkongsi maklumat bagi siasatan lanjut.
Majlis Raja-Raja ikut isu 3R
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Majlis Raja-Raja memantau dekat isu melibatkan 3R (raja, agama, dan kaum)
Katanya, beliau disoal berhubung isu 3R apabila memberi sembah taklimat kepada Majlis Raja-Raja berhubung hal ehwal kementerian.
Saifuddin berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Akta Hasutan 1948 digunakan bagi menangani isu 3R, walaupun mengakui Akta Hasutan “sedikit kontroversi”.
“Dua hari lepas, bila polis Pulau Pinang ambil tindakan yang itu segara diserang kenapa mesti ditekan kebebasan bersuara dan sebagainya.
“Kalau kita tak bertindak…apa ini polis tak bertindak, takkan nak biar sampai rosak resah timbulkan keresahan dalam masyarakat, baru nak bertindak,” katanya.
Beliau mengulas insiden di mana seorang wanita ditahan di negeri itu kerana didakwa membuat hantaran jelik terhadap Agong berhubung pengurniaan darjah kebesaran “Tan Sri” kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.