
Istilah dimaksudkan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu seperti “perjuangan Islam”, “istiqamah”, “dakwah”, “jihad” dan “jemaah Islam” dengan disempitkan makna dengan merujuk kepada organisasi itu sahaja.
Khairuddin yang kini penasihat agama Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, tindakan PAS itu adalah “penyelewengan kepada istilah Islam”.
“Di Malaysia, sesiapa yang berhenti daripada organisasi PAS dilabel sebagai meninggalkan perjuangan Islam kerana perjuangan Islam itu diyakini hanya milik PAS sahaja.
“Sedangkan hakikatnya perjuangan Islam itu milik semua Muslim yang bersyahadah dan membawa obor dakwah Islam di mana sahaja mereka berada dan dalam organisasi politik mana mereka anggotai,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, ahli parti yang meninggalkan PAS turut dituduh “tidak istiqamah” lalu dibaca ayat al-Quran dan hadis tentang arahan istiqamah dengan Islam, sedangkan makna sebenarnya iaitu “berpegang kepada akidah, syariat dan akhlaknya”.
“Orang yang meninggalkan PAS juga dilabel dalam tamrin, usrah dan ijtima tarbawi PAS sebagai gugur daripada medan dakwah lalu dibaca teks tulisan pelbagai tokoh gerakan Islam.
“Hakikatnya medan dakwah itu luas bukan terhenti menjadi milik PAS sahaja,” kata bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Khairuddin yang juga setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno berkata, kesan daripada tindakan itu akan “mencarik” perpaduan umat Islam.
“Kesannya sangat besar iaitu melahirkan taksub dalam diri anggota parti lalu melihat orang yang berbeza pendirian parti dan berbeza organisasi sebagai musuh perjuangan Islam dan pendakwah yang gugur daripada dakwah Islam,” katanya.
Pada PRU15, Khairuddin bertanding mempertahankan Parlimen Kuala Nerus sebagai calon Barisan Nasional selepas mengisytiharkan keluar PAS pada 14 Mac 2022, namun tewas di kerusi itu.
Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat agama Zahid secara pro bono iaitu tanpa menerima gaji pada Mac lalu.
Khairuddin juga adalah bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi.