Malaysia makmur, tetapi banyak ‘bocor’, kata Anwar

Malaysia makmur, tetapi banyak ‘bocor’, kata Anwar

Perdana menteri berkata subsidi sepatutnya dinikmati golongan miskin, namun banyak yang 'disakau'.

Anwar Ibrahim (tengah) menghadiri Majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang di Kota Bharu. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam terutama badan penguat kuasa, termasuk di Kelantan memberi tumpuan kepada ketirisan melibatkan barangan bersubsidi.

Beliau berkata, subsidi seharusnya dinikmati golongan miskin, namun banyak yang “disakau”.

“Negara ini makmur, tetapi bocornya banyak, percayalah subsidi itu sendiri yang maksudnya untuk orang miskin tetapi disakau, ini banyak (berlaku). Minyak masak disakau, diesel disakau, jadi sampai bila nak cukup?

“Sebab itu badan penguat kuasa, termasuk di Kelantan kena perhati, laksana dengan baik, tak boleh lagilah kita lakukan begitu,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Kepada Penjawat Awam Kelantan di Dewan Besar Balai Islam Lundang.

Turut hadir Menteri Besar Ahmad Yakob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Kelantan Nazran Muhammad.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberi contoh subsidi elektrik yang seharusnya dinikmati rakyat biasa, kini turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi.

“Berapa subsidi elektrik? RM30 bilion kalau tak dikawal tahun ini. Jadi, kalau subsidi elektrik sebegitu rupa, macam mana nak bina sekolah dan universiti baru?

“Sebab itu, baru-baru ini kita batalkan keputusan sebelum ini yang mahu batalkan sebahagian subsidi elektrik dan naikkan kadar elektrik. Saya kata tak boleh kalau dinaikkan kadar elektrik bagi rakyat yang tengah susah, ini jadi satu beban.

“Jadi, apa pilihan kita ada? Bagi yang terkaya kita naikkan (kadar elektrik) bagi rakyat tidak dinaikkan,” katanya.

Anwar juga mahu penjawat awam membantu beliau memberi penerangan mengenai dasar yang dilaksanakannya, termasuk cukai dan subsidi.

“Dasar-dasar ini kadang-kadang sukar difahami kerana tidak dijelaskan dengan sepenuhnya dan penjawat awam sebagai suara dan pelaksana kerajaan harus faham, saya tidak berhasrat naikkan apa-apa cukai yang menyentuh kedudukan rakyat berpendapatan rendah, itu jelas.

“Tetapi, saya terpaksa naikkan cukai ke atas orang kaya, baik elektrik, air, pergi ke Makkah atau diesel dan minyak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.