
Gandingan yang menduduki ranking ketiga dunia itu tewas 21-17, 21-18 kepada beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, kekalahan pertama dalam sembilan pertembungan membabitkan kedua-dua pasangan beregu lelaki itu.
Pasangan negara yang kali terakhir bergelar juara di Kejohanan Dunia tahun lepas gagal mendominasi permainan sementara atlet India yang menghuni ranking keenam dunia itu beraksi tanpa tekanan.
“Kita bermain agak tidak cukup tenang. Di awal permainan, kita bermain baik tetapi mereka kejar semula enam mata berturut-turut, mula terganggu sedikit,” kata Aaron kepada pemberita selepas perlawanan, lapor Bernama.
Wooi Yik pula berkata: “Kita sudah cuba yang terbaik untuk menang tetapi mungkin bukan hari ini. Kita lebih banyak bertahan dan tidak cukup berani.”
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky memuji kesungguhan dan permainan dipamerkan Aaron-Wooi Yik, yang menurutnya, telah banyak berubah.
“Peluang untuk jadi juara ada tetapi belum harinya untuk mereka,” katanya.
Katanya, kedua-dua pemain itu perlu meneruskan permainan agresif serta kekal konsisten, selain meningkatkan latihan fizikal.