Tiba masanya, tahulah siapa calon MB PN, kata Muhyiddin

Tiba masanya, tahulah siapa calon MB PN, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata, buat masa ini, gabungan itu tidak perlu mengumumkan calonnya bagi jawatan menteri besar di Selangor.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tokoh-tokoh yang layak menjadi menteri besar di Selangor jika gabungan itu menang pada PRN nanti.
SHAH ALAM:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak perlu mengumumkan calon menteri besar di Selangor sehingga “sampai masa sesuai”.

Beliau berkata, apabila tiba masanya, semua pihak akan mengetahui calon menteri besar PN di Selangor.

“Kita tak perlu umumkan. Pada prinsipnya, kita sudah kenal pasti ramai tokoh dan sampai masa sesuai … tahulah siapa menteri besarnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pengerusi PN Selangor Azmin Ali akan dilantik menjadi menteri besar jika gabungan itu menang di negeri itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Azmin belum mengumumkan sama ada beliau akan bertanding atau tidak di Selangor.

Muhyiddin dalam ucapannya juga berkata, Azmin sebagai bekas menteri besar Selangor dan pengerusi PN negeri bertanggungjawab memastikan gabungan itu menang di negeri itu pada PRN akan datang.

“Menjadi kewajipan Azmin beri hadiah kepada PN di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.