IPTA perlu nilai risiko acara anjuran pelajar, kata menteri

IPTA perlu nilai risiko acara anjuran pelajar, kata menteri

Khaled Nordin menggesa agar penilaian risiko dibuat susulan laporan mengenai penganjuran konsert di sebuah universiti awam di Terengganu yang dianggap bertentangan dengan imej IPTA.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata, penilaian risiko akan membolehkan pihak pentadbiran IPTA memantau dan membendung penganjuran acara tidak bersesuaian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institusi pengajian tinggi awam (IPTA).perlu membuat penilaian risiko terhadap semua acara dalam kampus, khususnya yang dianjurkan oleh pelajar, kata Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Katanya, ini akan membolehkan pihak pentadbiran universiti memantau dan membendung penganjuran acara tidak bersesuaian yang boleh mencemarkan pengisian program serta imejnya.

Beliau merujuk penganjuran konsert di sebuah universiti awam di Terengganu baru-baru ini membabitkan percampuran lelaki dan wanita serta dianggap bertentangan dengan imej IPTA.

“Harus difahami semua kegiatan pelajar, penganjur adalah pelajar sendiri dan dalam soal menganjurkan konsert ini, bukan perkara baharu,” kata Khaled, menurut Harian Metro.

“Jika kita lihat setiap majlis konvokesyen, akan ada pelbagai program, antaranya konsert. Oleh kerana ada insiden yang mungkin mencemarkan pengisian dalam konsert itu, maka saya sudah minta universiti lebih berhati-hati dan perlu diadakan penilaian risiko.”

Beliau berkata, penganjur atau pelajar boleh berbincang dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti untuk mengawal perkara tidak diingini.

“Kalau pelajar boleh jumpa dengan TNC (timbalan naib canselor) HEP, saya percaya keputusan lebih bermanfaat dapat dicapai,” katanya.

“Sebenarnya, insiden yang berlaku di universiti itu baru-baru ini memberi kita pengalaman (tindakan yang akan dibuat) apabila berlakunya penganjuran acara seperti ini. Sebab itu kita minta universiti adakan penilaian risiko.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.