
Sayuti Omar berkata wakil rakyat sepatutnya dilihat memanfaatkan Parlimen untuk membawa isu mendesak, dan bukannya kelihatan obses soal agama tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu.
“Orang luar melihat teguran pemimpin PAS ini tiada kualiti, menimbulkan hal remeh-temeh, atau lari dari tajuk perbahasan sebenarnya. Itu merugikan PAS,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, ketika Dewan Rakyat membahaskan Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi bagi reformasi sistem kesihatan, Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor dari PAS menarik perhatian Parlimen kepada pakaian jururawat yang menurutnya menampakkan bentuk badan dan tidak patuh syariah.
Ia bagaimanapun mendapat kritikan kesatuan jururawat dan pakar-pakar bidang yang menyifatkan ia sebagai memalukan, ketika orang ramai bimbang tentang kemampanan sistem kesihatan.
Sayuti bagaimanapun berkata isu ini tidak akan memberi kesan kepada peluang Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional pada PRN akan datang.
“Sekadar hiburan yang hanya merendahkan mutu wakil rakyat PAS, sama seperti jenaka yang dipertontonkan menteri besar Kedah (Sanusi Md Nor),” katanya.