2 bot bertembung di Perhentian, seorang maut

2 bot bertembung di Perhentian, seorang maut

Kru bot nelayan Rahmat Mat Ariffin, 43, meninggal dunia setelah terbabit dalam insiden yang berlaku di Pulau Perhentian pagi tadi.

Nahas membabitkan sebuah bot nelayan dan sebuah bot pelancong di Pulau Perhentian pagi tadi mengakibatkan kematian seorang kru bot nelayan, menurut polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kru bot nelayan maut manakala dua penumpang cedera parah dalam insiden dua bot bertembung di perairan Pulau Perhentian pagi tadi.

Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut, Terengganu, disahkan meninggal dunia akibat cedera parah sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Nahas yang berlaku pada kira-kira 8.15 pagi tadi itu membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru serta 10 penumpang dan sebuah bot pelancong yang dinaiki dua kru serta 10 penumpang, menurut Pemangku Ketua Polis Besut Azrol Anuar Nor.

“Kemalangan dikatakan berlaku ketika bot pelancong dari Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil (yang dalam perjalanan) ke jeti sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Besar melanggar bot nelayan yang menjalankan aktiviti sewaan mencandat sotong (yang dalam perjalanan) ke jeti kampung Pulau Perhentian,” katanya, lapor Bernama.

Akibat pelanggaran tersebut, kata Azrol, bot nelayan itu bocor dan tenggelam, manakala bot pelancong jenis gentian kaca hanya mengalami kerosakan kecil.

Semua kru serta penumpang bot pelancong tersebut, termasuk tiga warga asing dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan, tambahnya.

Azrol berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian oleh bot orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan bot ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Kejadian dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.