Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah RM671,000

Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah RM671,000

Suspek berusia 34 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan di Sungai Petani Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Youtube)
ALOR SETAR:
Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 18.645kg dianggarkan bernilai RM671,220, dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Sungai Jagung, dekat Sungai Petani, Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata kedua-dua suspek berusia 34, dan 35 tahun itu, ditahan pada 11.55 malam ketika sedang mengeluarkan satu kotak dari but kereta jenis Honda City, di pekarangan rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak tersebut menemui 18 bungkusan plastik berwarna hijau, yang mempunyai tulisan ‘refined Chinese tea’ yang berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.

“Polis turut merampas kenderaan tersebut dan sebuah kereta lain jenis Perodua Bezza serta wang tunai RM500,” katanya pada sidang media.

Fisol berkata, syabu yang dirampas itu, dipercayai diperoleh dari negara jiran dan disyaki untuk dipasarkan di negara ini, yang mampu digunakan oleh 30,000 hingga 40,000 penagih.

“Kita mengesyaki inap desa itu dijadikan tempat transit, sebelum dadah tersebut dipasarkan terutama di negeri ini,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan akan direman hingga 23 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.