
Hawari dilapor hilang sejak 19 Mei selepas keluar meninggalkan kem empat selepas menawan puncak.
Ketua Misi Pendaki Malaysia Everest 2023 Azim Afif Ishak berkata permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara diluluskan pihak berkuasa Nepal itu tamat hari ini serta aktiviti pendakian ke puncak Everest juga ditutup, bermula 29 Mei lalu.
Menurutnya, satu objek dikesan di antara kem dua dan tiga namun ia hanya longgokan sampah dan khemah, imej yang menunjukkan jasad Hawari berdasar warna sut dipakainya dirakam dron.
Menurutnya, tiga malim gunung bersama seorang jurugambar ditugaskan ke lokasi mengesahkannya bukan jasad Hawari.
“Statusnya (ketika ini) diletakkan sebagai ‘orang hilang’ kerana jasadnya masih belum ditemui,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media di Kathmandu, Nepal.
Katanya, operasi SAR dijangka disambung pada musim pendakian 2024, namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan.
Azim berkata, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincang dan mendapat nasihat daripada pihak kedutaan Malaysia di Nepal.