Mykad warga China: Kes 2019 ditular semula, kata Saifuddin

Mykad warga China: Kes 2019 ditular semula, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata pegawai jabatan pendaftaran terlibat telah ditangkap dan kini dalam proses bicara mahkamah.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu warga China diberikan MyKad ditular kembali demi keuntungan sempit politik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan isu kononnya warganegara China diberi MyKad merupakan kes lama yang berlaku pada 2019.

Katanya, pegawai jabatan pendaftaran yang terlibat telah ditangkap dan kini dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Kes ini berlaku 2019. Bukan kerajaan madani. Masa itu Muhyiddin Yassin menteri KDN, saya pun yakin beliau tidak terlibat,” katanya di Facebook ketika menjelaskan isu yang ditular kembali kononnya warga Cina diberi MyKad.

Katanya, warga Cina yang dikesan menggunakan MyKad itu juga telah diusir pulang ke negara asal.

Saifuddin turut membidas pihak yang cuba mengemburkan kembali perkara itu dengan memainkan isu kaum demi keuntungan politik.

“Seperti biasa serangan ditala kepada kerajaan madani tanpa rasa bersalah untuk semak maklumat. Asal dapat main sentimen kaum dan dapat keuntungan politik mereka puas hati,” katanya.

Pada 9 September 2019, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung pemberian MyKad kepada warga China untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini.

Pada tahun sama, media melaporkan beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan dalam operasi khas bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.