Menteri kecewa pemikiran sempit Rais tentang bak kut teh

Menteri kecewa pemikiran sempit Rais tentang bak kut teh

Tiong King Sing meminta perbincangan mengenai makanan rakyat tidak dipanaskan dengan kenyataan berbaur perkauman.

Bak kut teh mempunyai variasi yang menggunakan ramuan halal, sepertimana dim sum, kata Tiong King Sing.
PETALING JAYA:
Menteri pelancongan, seni dan kebudayaan mempersoalkan kewajaran ‘bergaduh’ mengenai bak kut teh yang berasal dari Malaysia.

Tiong King Sing berkata setiap makanan yang sinonim dengan mana-mana etnik di Malaysia wajar dimartabatkan sebagai warisan.

“Kepelbagaian inilah yang mencerminkan identiti sebenar Malaysia,” katanya di Facebook.

“Saya amat bersedih melihat Rais Yatim, seorang ahli politik veteran, menampakkan pemikirannya yang usang dan sempit dalam kenyataannya tentang perkara ini.”

Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan pada 13 Jun lalu dilapor mempertimbangkan makanan tradisional komuniti Cina itu dimasukkan dalam senarai warisan negara, bagi menonjolkan menu tempatan kepada pelancong.

Semalam, Rais yang pernah menggalas portfolio menteri kebudayaan, kesenian dan warisan berkata penarafan sesuatu perlu lah tidak menimbulkan kontroversi dari sudut budaya, agama, dan kehidupan; dan menggesa kerajaan mengkaji sensitiviti masyarakat terlebih dahulu.

Asal usul bak kut teh menjadi pertikaian antara rakyat Malaysia dan Singapura, di mana ia dilihat sebagai hidangan istimewa kaum Cina di kedua-dua negara. Carian di internet mendapati ia antara 50 ‘sup’ paling lazat di dunia di samping laksa.

Tiong mengingatkan bahawa bak kut teh mempunyai variasi yang menggunakan ramuan halal, sepertimana dim sum yang boleh disediakan secara halal.

“Tidakkah ini sesuatu yang baik, terutamanya kepada pengusaha dan peniaga beragama Islam?” katanya.

Tiong meminta perbincangan mengenai makanan rakyat tidak dipanaskan dengan kenyataan berbaur perkauman.

“Ia hanya menaburkan kebencian dan merosakkan asas perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.