
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya yakin kerajaan negeri prihatin mengenai kebajikan penjawat awam dan sentiasa menghargai setiap jasa serta pengorbanan dicurahkan kumpulan itu.
“Cuepacs menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor membatalkan serta merta dasar yang digubal JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap itu adalah sebagai ‘terburu-buru dan tidak cermat’.
“Setiap pekerjaan sentiasa mahukan pembangunan dalam kerjaya masing-masing dan begitu juga dengan penjawat awam yang berkhidmat di agensi serta jabatan di bawah kerajaan negeri.
“Suatu perkara yang amat mendukacitakan jika aspek pembangunan kerjaya dicantas begitu sahaja tanpa memaklumkan sebab yang munasabah,” katanya dalam kenyataan.
Selasa lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata beliau akan menyemak semula tindakan membatalkan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak berkhidmat lebih 15 tahun.
Amirudin berkata, perkara itu akan disemak semula dengan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam perjumpaan akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, media melaporkan tindakan kerajaan Selangor membatalkan serta-merta dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang berkhidmat melebihi 15 tahun seperti diputuskan sebelum ini, memberi gambaran kerajaan negeri tidak prihatin dengan kebajikan penjawat awam.
Susulan itu, Cuepacs yang kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan Selangor dan mahu Amirudin mempertimbangkan semula keputusan itu.