Kerajaan namakan Wan Junaidi Speaker Dewan Negara

Kerajaan namakan Wan Junaidi Speaker Dewan Negara

Mandat Rais Yatim bagi jawatan itu berakhir semalam.

Bekas menteri undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merupakan Ahli Parlimen selama tujuh penggal.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dinamakan sebagai Speaker Dewan Negara.

“Ya, saya boleh sahkan bahawa saya dinamakan oleh kerajaan (sebagai Speaker Dewan Negara),” kata bekas Ahli Parlimen tujuh penggal itu ringkas kepada FMT.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber, berkata Wan Junaidi dinamakan sebagai calon menggantikan Rais Yatim, yang mandatnya sebagai Speaker Dewan Negara berakhir semalam.

Sumber berkenaan juga dilaporkan berkata, penamaan Wan Junaidi sebagai calon kerajaan perpaduan bagi jawatan itu dipersetujui kerana kepakarannya dalam bidang undang-undang dan pengalaman luasnya.

Wan Junaidi berkhidmat dalam portfolio undang-undang dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, bermula 2021 hingga 2022, dan merupakan bekas menteri pembangunan koperasi dan usahawan, di bawah kerajaan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, bermula 2008 hingga 2013.

Wan Junaidi pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar, bermula 1990 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Santubong sehingga 2022. Beliau tidak bertanding pada PRU15.

Malaysiakini juga memetik beberapa sumber daripada Barisan Nasional sebagai berkata, kerajaan akan menamakan pemimpin Umno Nur Jazlan Mohamed sebagai timbalan speaker Dewan Negara.

Jawatan timbalan speaker itu kosong selepas penggal senator Ali Mohamad berakhir pada Mei.

Nur Jazlan merupakan Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal sejak 2004. Beliau bertanding pada kerusi sama dalam dua PRU lalu, namun tewas.

Rais dilantik sebagai Speaker Dewan Negara ke-18, pada September 2020, mengantikan S A Vigneswaran, yang mana penggal khidmatnya berakhir pada Jun tahun sama.

Beliau dipilih menerusi undi rahsia dan berdepan dua pesaing lain bagi jawatan itu, Yusmadi Yusoff dan Theodore Douglas Lind. Theodore bagaimanapun menarik diri saat akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.