
Mohamad berkata langkah kerajaan untuk membenarkan pengimportan telur dari Thailand ataupun negara sumber lain adalah merupakan langkah tambahan bagi menampung keperluan jika berlakunya kekurangan bekalan secara mengejut.
Bagaimanapun, kata Mohamad pada masa ini tiada sebarang pengimportan telur ayam dari Thailand yang direkodkan.
“Berdasarkan rekod semakan semasa, tiada rekod pengimportan telur dari negara India selepas Januari 2023,” katanya.
Kata Mohamad dalam jawapan bertulis Parlimen bagi menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya justifikasi kementerian mengimport telur ayam dari Thailand dan status pengimportan telur ayam dari India.
Tambahnya, pengeluar telur tempatan sentiasa menjadi keutamaan dalam menjamin bekalan telur di Malaysia dan inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan.
“Sebaliknya keputusan ini adalah untuk mempelbagaikan sumber bekalan telur ayam di dalam negara dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Tiada sebarang subsidi juga akan diberikan oleh kerajaan kepada telur yang diimport dari negara luar,” katanya.